Saturday 29 March 2014

Putar masa boleh?

Aku tak pernah tahu. Apakah betul langkahanku. Kepada Allah, tempat aku mengadu.

Dulu, bila awal awal sampai jejakkan kaki kat sini. Seakan tak percaya. Betol ke apa yang aku sedang rasa. Maklumlah, bila seorang insan biasa belajar jauh meretas lautan sana. Tiba tiba, sampai ke tempat yang jauh dari keluarga.

Sampai bila pertama kali jejak kat sini,

"Bangun, Muaz. Bangun! Ini bukan mimpi!" *sambil tampar diri sendiri*

Tipulah kalau tak gembira kan. Awal awal dulu serius tak rasa pon rindu Malaysia. Sebab kat sini bagi aku suasananya macam Malaysia.

Tapi, orang kata. Kita bisa merancang tapi Allah sebaik perancang.

Lama kelamaan, perasaan suka tu sikit sebanyak terkikis dari diri aku. Hinggalah perasaan menyesal tu datang kuat bertandang. Kalau aku bisa putar masa, nak saja aku kembali belajar kat UIA. 

___________

Ingat lagi, awal awal dulu buat survey nak belajar mana,

"Abah ummi, Muaz tiba tiba rasa nak belajar luar negara lah."

"Kenapa tiba tiba?"

"Entah. Hati tiba tiba rasa nak ke sana. Macam best jee."

"Muaz dah betol betol ke ni buat keputusan."

"Entahlah. Nanti Muaz istikharah."

Waktu tu, aku mula belajar tentang erti sebenar sebuah istikharah. Bukan senang nak serahkan segalanya kepada Allah. Kena tangkis dulu sifat berat sebelah dalam buat keputusan. Lapangkan betol betol hati. Baru bisa ber'soal' kepada Allah dengan tenang.

Dan aku. Bila mana dalam proses istikharah. Kejap nak ke sini. Kejap nak duduk Malaysia. Perit rasanya perasaan waktu tu. Belum lagi istikharah bila dah nak melangkah naik tangga baru. -_-'

Hinggalah, bila dah benar benar rasa keputusannya adalah yang terbaik,

"Abah Ummi. InsyaAllah Muaz yakin. Muaz nak belajar keluar negara!"

.......

"Okay insyaAllah abah ummi sokong."

Terdiam. Kaku. Gelap.

Betol ke apa aku buat sebenarnya. Sampailah hari terakhir aku kat Malaysia, kemas beg baju semua. Kakak  kakak kesayangan aku tolong kemas beg *bukan aku yang nak kay, diaorang yang nak tolong lipat dan kemas :3*

"Haish, dah besar dah adik kita ni. Dulu kecik kecik manja jee"

*aku buat muka*

"Nanti bila dah sampai sana, jangan rindu pulak sibuk nak balik Malaysia"

Dan tak tipu! Seakan diaorang tahu. Perasaan aku waktu tu. Rasa berat nak tinggalkan. Rasa nak masuk balik je UIA.

Dalam hati,

"Ya Allah, tetapkan hati aku ya Allah."

______________

Bila aku borak borak dengan kawan kawan kat Malaysia, keadaan sebenar bila belajar luar negara. Semua macam tak percaya. Respon yang sama bila dapat.

"Untunglah dah belajar jauh jauh, dapat main salji"

"Best kan dapat travel pergi negara lain nanti!"

"Serius, dengki gila dengan kau!"

"Nanti bawak aku pergi sana."

"Bawak balik isteri dari sana eh nanti" *Okay dia ni serius nak mintak disepak -_-'*

______________

Kalau boleh, nak je aku bagitahu mereka.

Sebenarnya, kawan. Memang lah nikmat bila belajar luar negara. Lagi lagi bila nak belajar kat tempat yang kita dah idam sejak dari dalam perut mak kita lagi *hiperbola detected*. Belajar budaya orang baru. Masuk dengan masyarakat kat sini. Best, aku sendiri tak nafikan bestnya!

Tapi, kawan.

Ada satu benda lagi yang kita kena tahu. Bukannya senang bila belajar jauh jauh ni. Kalau sekadar nak main salji, boleh je pergi I city -_-. Kalau sekadar nak rasa 4 musim, boleh je pergi kat Shah Alam tu. -_- lagi sekali.

Tapi, kawan.

Yang penting kita kuat atau tak jee. Berapa ramai kawan kawan aku kat sini, dah rasa putus asa. Tak dapat  teruskan dengan apa yang kitaorang belajar. Hinggakan, ada yang dah pulang Malaysia!

Tahu sebab apa?

Belajar luar negara ni kena struggle lebih. Ye. tak nafikan. Belajar mana mana pon kena struggle. Tapi boleh bagitahu, kalau memang jenis rapat dengan keluarga, bila kita jatuh. Nak beli tiket kapal terbang on the spot dan balik Malaysia?

Harapnya dapat point aku nak sampaikan.

Sebab kadang kadang, terasa lah jugak bila orang sibuk bercerita nak ke luar negara. Asyik fikir nikmatnya, sampai lupa susah payahnya.

Jadi nasihat aku, untuk adik adik SPM yang nak sambung belajar ke luar negara, kalau sekadar nak main salji, tangkap gambar sini sana masuk instagram, tak payah lah. Lebih baik belajar kat Malaysia je. *garang tak?*

Yup. Kerana aku serius!

Kerna apa?

Sejak dua menjak. Terkesan dengan apa yang berlaku. Ramai kawan kawan aku dan mungkin aku juga (?) down dengan study mereka. Hakikatnya, ada dua pilihan saja. Nak kuatkan semangat atau putus asa?

Kenapa aku cerita benda yang buruk saja?

Supaya. Kita tak sibuk fikir suka saja. Sampai kita lupa dalam sunnatullah nya, setiap yang baik. Pasti ada buruknya. Ayat biasa, surah baqarah.
"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." 
(Al-Baqarah:216)

Yup. Sedangkan kita tidak mengetahui. Apakah sebenarnya yang terbaik untuk kita Allah beri.

Sebab itu, dalam buat apa apa keputusan, biar betol betol serahkan hati kita kepada Ilahi,

Jangan kerna sekadar nak ikut nafsu, keputusan dibuat hanya kerana aku mahu!

________

Semoga. Allah permudahkan urusan kita semua. Maaf atas salah silap selama.

Harap tak ada yang terasa :)

Selamat memaknai erti mujahadah dan syurga! :D



Dan, pergilah jauh mana pon.

Tetap aku rindu.

Kopiah putih.
Baju putih dan hijau.
Seluar hijau gelap ke coklat (?)
Lencana atas poket.
Stokin tapak hitam.
Kasut hitam.

Antara tempat yang menjadikan sebenarnya siapa aku sekarang.

Semoga. Terus mekar bumi bertuah di sana!

-Muhammad Mu'az-
Irbid, Jordan.

Monday 24 March 2014

Mati.

"Bila ummi tengok berita Ahmad Ammar. Teringat Muaz yang belajar kat sana. Semoga jumpa syahid eh."

"InsyaAllah, ummi. Doakan Muaz dapat mati syahid."

"InsyaAllah ummi doakan."

Perbualan dimatikan. Ditutup telefon bimbit kesayangan. Diletakkan di sisi. Malam itu, aku tak dapat tidur. Golek sini sana atas katil. Dua rakan biliknya dah selamat bersemayam dengan selamatnya. Entah apa yang dimimpi mereka. Sekali sekala bunyi hembusan nafas mereka.

2.13 pagi.

Entah kenapa. Malam itu seakan lain daripada biasa. Dada aku terasa sakit tiba tiba. Nak tidur, aku jadi takut sebenarnya. Takut takut. Kalau petanda ajal dah tiba. Siapa pernah tahu. Bila malaikat maut datang menyapa? Tapi dah bersedia ke dengan dosa yang tak nak kalah menggunung banyaknya.

Beberapa hari yang lepas, berita kematian orang yang aku kenal tak henti henti datang menimpa. Mula daripada meninggalnya, ibu kepada sahabat kesayangan aku. Hinggalah kepada nenek saudara. Dan terbaru, adik kepada kawan di mana aku sedang belajar.

Belajar jauh dari orang tersayang kat Malaysia. Buatkan aku sering tertanya. Sempat ke aku nak jumpa mereka? Jujurnya. Sejak dua menjak. Sangat aku rasakan. Kematian itu makin menghampiri. Bukannya tak pernah aku rasa. Tapi perasaan ini lain macam biasa.

___________________________________

"Weh. Kalau tiba tiba aku pergi nanti, kau jaga diri eh?"

Bunyi air pancut sekali sekala masuk dalam perbualan mereka. Malam ini, malam terakhir mereka beriktikaf sama selama seminggu. Semuanya dah pulang ke kampung masing masing. Masjid tempat aku dan dia iktikaf pon lengang dari hari hari sebelumnya. Yang tinggal hanyalah pelajar pelajar yang belajar di sini yang tak pulang ke kampung halaman mereka.

"Mestilah aku gembira."

"Eh? Sama lah dengan apa aku rasa. Tak sabar pulak!"

"Okay fine. Terkena balik. Apahal tiba tiba kau ni?"

"Entah. Kerna mati tu pasti. Dan tak tahu pon bila kan?"

"Weh.."

"Apa?"

"Jaga diri tau"

Bahu dia yang aku panggil sahabat dipeluk erat. Tak nak lepas aku rasa.

"InsyaAllah. Kau pon. Tapi..."

"......"

"Aku tak nak pon kau pergi. Siapa nak tolong ingatkan aku lagi. Aku tak nak jadi aku yang dulu lagi."

"Mana ada pergi. Nanti jumpa kat sana lah. Main kejar kejar macam biasa."

"Erm. Waktu tu aku boleh buli kau puas puas!"

"Tengoklah siapa yang kena buli nanti. Heh."

Tak semena. Titis hujan turun tiba tiba. Rahmat Ilahi turun tanpa sebarang tanda. Tenangnya luar biasa. Kembali pandangan mata kami lari kepada air pancut yang tak henti dari tadi.

Oh kenangan lama~
________________________________

Esok kertas terakhir untuk periksa pertama.
Tapi entah kenapa.
Tak boleh nak fokus sepenuhnya.
Fikiran lari jauh ke sana.
Fikirkan angka 529 dan MH 370.
Yang menjadi kejutan dunia hari ini.
Pengajaran langsung Allah beri.

Dan asyik terfikir pasal mati semenjak dua menjak ni.
Teringin mati.
Tika iman aku berada di tahap yang tertinggi.
Semoga diperkenankan Ilahi.


Apa yang ada di sisimu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan
kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.
(An Nahl : ayat 96)

Saturday 22 March 2014

Of imtihan dan keputusan.


-Oh kalian, imtihan itu adalah peperiksaan yang dibahasa arab kan :)-

Pernah punya seorang bayi atau budak kecil dalam sebuah keluarga?
Pernah lihat bagaimana dia membesar dengan cantiknya?
Bermula sekecil manusia sehinggalah sebesarnya.
Daripada baring sentiasa hingga bisa berlari sini sana.
Apakah pernah kau merasa.
Bagaimana sebenarnya erti sebuah usaha.
Kerna jarang berusaha.
Mana mungkin kau bisa merasa nikmatnya sebuah usaha.

_________________________

"Ummi abah, mintak maaf. Tak dapat buat yang terbaik. Keputusan semua jatuh. Tak macam biasa."

"Tak pernah kisah pon pasal keputusannya. Yang penting jadi orang berguna. Berapa ramai kat luar sana berjaya dalam periksa tapi gagal dalam mencari redha sang pencipta. Buat apa markah tinggi sini sana. Tapi Allah pon tak kenal siapa."

_________________________


Sepanjang hidup aku, tak pernah aku merasa bagaimana menjadi seorang yang bila lihat keputusannya, cantik satu huruf belaka. Dari atas sampai bawah, A sentiasa. Dari dulu sampai kini, jujurnya. Aku tak pernah merasa.

Kerna aku tahu dan sedar. Memang latar belakang aku orang yang biasa biasa. Tak seperti mereka di luar sana yang dari atas sampai bawah keturunannya, keputusan hebat hebat belaka.

Tapi alhamdulillah. Tak pernah aku rasa kecewa dengan keputusan aku terima.

Kerna bagi aku, hidup ini perlu ada prinsipnya. Dan prinsip aku. Selagi mana aku berusaha. Selagi tu tak perlu ada rasa kecewa.

Dan, aku percaya kepada kuasa sebuah usaha.

Peliknya kita tahu sebab apa?

Belajar pada minit minit terakhir.
Kelas pergi tak pergi suka hati.
Dalam kelas tidur macam atas katil sendiri.
Mengumpat doktor sana sini.

Dan akhirnya dalam doa,
"Ya Allah berilah keputusan yang cemerlang untuk sem ini!"

Ummi Abah selalu pesan,
Gagal berjaya belakang cerita.
Yang penting usaha usaha dan usaha.

Tak kisah kalau tak berjaya.
Yang penting jadi anak soleh.
Yang penting jaga hubungan dengan Allah.
Yang penting solatnya awal waktu di masjid sentiasa.
Yang penting jadi orang berguna.

Kerna,
Bila mana kita beri semua untuk Allah,
Pastinya yang lain akan dipermudah.
____________________________________

Entah lah. Bagi aku, imtihan adalah salah satu medan koreksi diri. Melihat sejauh mana sebenarnya imtihan ini berjaya merubah kehidupan sebenar kita.

Aku sedih kecewa dengan diri sendiri terutamanya.

Yang sibuk dengan buku sini sana hanya bila periksa.
Bila bukan waktunya,
Jahiliyyah berleluasa sini sana.

Dalam hidup aku,
Aku cuba berpegang pada kata kata.
Nak dapat keputusan yang baik,
Usahanya kenalah melangit tinggi.
Ibadahnya kenalah konsisten sekali.
Belajarnya janganlah pada minit minit terakhir.

Dan bila keputusan yang tak macam kita jangka,
Cepatnya kita kecewa.

Allahu Allah.

Sedangkan mungkin itu adalah yang sebaiknya.
Andai dapat keputusan hebat,
Sedangkan usaha tak menyengat,
Adakah bisa kita ingat Allah tika kita dapat nikmat?

Entah lah.
Entri ini sekadar koreksi buat siapa yang membaca.
Seakan kita banyak dikaburi dunia.
Akhirat kita entah ke mana.

Doa aku,
Semoga nanti kita mati.
Ketika iman kita berada pada tahap paling tinggi.

Eh apa kaitan periksa dan mati?
Haaa. Lu fikirlah sendiri :)


"Yang menciptakan mati dan hidup supaya Dia mengujimu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
(AlMulk : 2)

Tuesday 18 March 2014

Putus Asa.





Psst. Sebelum apa apa, cerita ini adalah rekaan semata. Tiada kena mengena dengan yang dah pergi dan masih ada. Kalau ada yang terkena, mungkin jodoh barangkali? Gituh sekali! :3

"Arrgggggghhhhhhh!" 

Seakan dia cuba melepaskan segala bebanan yang dia rasa.

Tak cukup dengan jeritan. Ditolaknya jatuh semua barang yang ada atas meja belajarnya.

Entah kenapa. Mungkin ini adalah kemuncak perasaan 'sakit' nya.

Bukan sekali dua dia cuba tahan apa dia rasa.

Dan, hari ini akhirnya segala bebanan dan kesakitan dia cuba lepaskan.

"Khairi, bukak pintu ni Khairi. Apa yang kau buat tu? Habis bergegar satu rumah tiba tiba" 

Suara teman serumahnya, Adib kedengaran dari luar pintu biliknya.

Diam. Tak ada respon daripadanya.

"Khairi oh Khairi. Bukak lah pintu ni. Kalau ada apa apa nak aku tolong, bagitahu lah. Janganlah meracau sana sini tak pasal pasal."

Lama Adib tunggu dari luar. Masih tak ada apa apa respon daripadanya.

"Takpelah. Apapon. Jangan lupa tenangkan diri dengan baca quran."

Kedengaran Adib meninggalkan biliknya. Entah kenapa. Ego dia seakan melangit tinggi. Langsung tak rasa bersalah pada Adib.

______________________________

"Ummi, kalau tiba tiba Khairi buat keputusan belajar kat luar negara okay ke? Stress lah belajar sekarang!"

Wajah redup ibunya ditatap lama. Kerut kerut tua mula kelihatan di wajah ibunya.

Umurnya dah nak cecah 55 tahun. Tapi bagi Khairi tetap ibunya adalah superwoman di hatinya.

Ke sana ke sini 'bekerja' tanpa kira masa.

"Lor. Dah kenapa dengan anak ummi ni. Tak pasal pasal buat keputusan macam ni. Kan baru dua minggu je masuk tempat baru."

Tenang suara ibunya mengeluarkan butir butir kata. Khairi memang lebih manja dengan ibunya. Bukannya tak rapat dengan ayahnya. Rapat juga.

Cuma sebabkan sibuk keluar bekerja demi mereka sekeluarga. Makanya, Khairi lebih banyak habiskan masa dengan ibunya.

Tambahan lagi, Khairi pula adalah anak tunggal. Makin bertambah tambah lah manjanya!

"Entahlah, ummi. Penat kadang kadang. Kelas dah lah awal pagi. Balik petang. Jalan jauh jauh. Peluh sini sana. Malam pulak kena siapkan assignment. Tidur lambat bangun awal. Penat tahu tak, ummi. Penat!"

"Erm. Khairi dah fikir masak masak ke ni nak belajar luar negara? Nanti siapa nak jaga abah ummi?"

Mendalam. Khairi terdiam. Tak pernah dia fikir perkara sebegini.

___________________________________

Belajar jauh dari ibubapanya buatkan dia sedar sebenarnya tak adalah seenak macam yang dilihatnya.

Betollah kot apa orang kata, "hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri."

Makin lama dia belajar di negara asing, makin bosan dia rasa hidupnya di sini.

Malah, kalau boleh nak putar balik masa, nak saja dia kembali belajar di tempat lama dulu.

"Assalamualaikum, Khairi. Boleh aku masuk?"

Suara lembut Adib mematikan lamunannya.

"Waalaikumussalam, Adib. Erkk. Sejak bila kau jadi sopan santun bagi salam ni?"

"Sejak tadi? Dah banyak kali aku keluar masuk bilik kau sebenarnya. Tapi kau tak perasan. Lama sangat kau tenung ke luar tingkap. Apa entah yang tengan kau fikir sebenarnya."

"Entah lah. Kau tak menyesal ke, Adib?"

"Menyesal kawan dengan kau? Mestilah!"

"Kau dah lama hidup eh?"

Ditumbuknya badan si Adib sekuat hati. Lega dia rasa.

"Aduh. Sakit lah!"

"Sakit lagi hati aku, kau tahu?"

"Padan muka!"

Ditumbuknya Adib lagi sekali. Bertambah lega.

"Woi! Ingat aku tak ada pain receptor ke apa?!"

Khairi dengan muka bersahajanya.

"Okay okay. Kau menang! Erm. Menyesal apa sebenarnya kau ni tiba tiba?"

Suasana sunyi sepi. Bunyi hon dari luar rumah memenuhi ruangan bilik.

"Memang aku cakap dengan kipas pon!"

"Hish kau ni. Dari dulu sampai sekarang tak berubah. Erm.. menyesal sambung belajar kat sini lah."

Adib terdiam. Dia cukup faham perasaan sahabat baiknya.

Bukan apa. Mereka dulu yang beriya iya isi borang semua nak sambung belajar kat sini.

Tapi, semuanya berjalan tak macam mereka sangka.

_________________________________

"Maaf. Kamu telah gagal buat kali kedua. Kalau kamu gagal lagi sekali, maaf untuk saya kata. Kamu akan dibuang universiti."

Terngiang kata kata daripada doktor nya sebentar tadi.

Betapa. Dia rasa hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan dia tika itu.

Bukannya kejap dia cuba bertahan.

Bertambah tambah lagi dia rasa tak suka belajar kat negara asing ni.

Bagi dia, bagus jugak dibuang universiti, boleh balik Malaysia dengan senang hati.

Tapi, kata kata ummi abah dia tiba tiba menerjah diri.

______________________________


"Khairi, nanti kat sana belajar elok elok. Tak payah fikir lah pasal ummi abah. Saja je hari tu ummi nak tengok reaksi anak ummi. Pandai lah ummi dengan abah jaga diri."

Baju Khairi dilipat kemas ke dalam beg besarnya.

Detik detik dan hari hari terakhir dia bersama dengan ummi dan abahnya tak akan disiakan.

Entah bila lagi dia dapat jumpa ummi dengan abahnya.


"InsyaAllah, ummi. Tapi Khairi nak tanya boleh?"

Ummi berhenti dari melipat kain baju Khairi. Mata Khairi ditenungnya.

"Aha. Kenapa?"

"Kalau tiba tiba, Khairi tak suka belajar kat sana macam mana?"

"Tengok tu. Belum lagi apa apa dah fikir bukan bukan. Macam mana nak berjaya."

"Entahlah ummi. Tiba tiba takut kalau keputusan yang Khairi buat ni bukan yang terbaik."

Lembut tangan ummi gosok kepalanya.

"Khairi percaya dengan istikharah yang Khairi buat tak?"

"Percaya...... kot.."

"Dah tu? Nak takut apanya? Allah kan ada."

"InsyaAllah. Doakan Khairi, ummi."

"Sentiasa. Ummi tunggu kepulangan Khairi nanti. Ingat. Belajar bukan semata mata belajar. Jadi seorang mujaddid (pembawa pembaharuan)"

Terdiam Khairi.

Dalam hatinya berbisik.

"Allah, beratnya. Tetapkanlah hatiku, ya Allah. Semoga ini benar benar yang terbaik"

________________________________

"Khairi, jom belajar kat atas laut?"

"Apa benda lah kau ni belajar atas laut tiba tiba ni, Adib"

"Patutlah BM kau tak A, anak orang inggeris sangat. Belajar oversea jom?!"

Slip periksa SPM dipegang kemas di tangan Khairi.

Keputusan seakan dah jangka. 10A dan 1B.

B nya adalah bahasa Malaysia. Subjek yang memang dia tak pernah A dari UPSR lagi.

"Erk. Kau ni serius ke main main?"

"Seriuslah. Kau kan dah janji nak sambung belajar sama sama hari tu."

"Erm. Nantilah. Aku tanya ummi abah dulu. Berat pulak nak tinggalkan diaorang."

"Ops. Lupa. Anak manja."

"Baik sikit. Anak tunggal kay."

_______________________________

"Khairi, Khairi. Apa lagi kau tenung ni. Aku rasa macam cakap dengan tunggul pon ada."

"Erk. Sorry, Adib."

Tiba tiba. Air mata jantannya mengalir.

"Waduh. Waduh! Menangis pulak kawan aku sorang ni. Jangan lah macam ni weh!"

"Sorry, Adib. Entah lah. Aku rasa berat gila. Serius. Nak putus asa je rasa."

"Janganlah. Serius. Kita dah nak sampai tengah tengah jalan kot. Tak kan nak patah balik?"

"Adib."

Lembut suaranya.

"Kau tak menyesal ke, Adib?"

Dengar tarikan nafas berat Adib.

"Tipulah kalau tak. Lagi lagi aku yang ajak kau sambung sini."

"Tapi kenapa kau maintain je."

"Dalam hati aku kau tak tahu, bro."

"Lepas tu nak buat apa?"

"Entahlah, Khairi. Dah sampai sini. Apa lagi boleh buat. Kena terus sabar dan kuat lah kot."

Sabar. Satu perkataan yang senangnya diluah manusia.

Tapi bila sampai dia yang kena.

Baru tahu macam mana penangannya.

"Sampai bila nak sabarnya, Adib?"

"Sampai kau boleh bangkit semula?"

"Kau gila?! Memang tak lah!"


Tinggi sikit suaranya kali ni.

"Sabar, Khairi. Jangan lupa pesan mak kau. Ni apa yang Allah bagi."

Terdiam Khairi.

Benar dia tak dapat sangkal lagi ini adalah apa yang telah Allah beri.

Nak tak nak dia kena redha.

Tapi persoalannya.

Dia kena sabar.

Tapi sampai bila?

"Allah, bantulah hambamu yang lemah ini."

......

...

..

.

Saturday 15 March 2014

Ada apa dengan imtihan?

Makin banyaknya ilmu. Makin jahilnya kita.
Oh by de way, Imtihan itu adalah peperiksaan. Dan jahil itu adalah ketidak tahuan.



"Sedihnya rasa. Soalan tadi langsung tak faham. Dah lah berbelit belit ayatnya. Serius sedih!"

"Tu lah. Tapi, sesuailah dengan aku yang belajar last minutenya."

Tadi. Baru habis kertas untuk madah (subjek) pertama untuk semester kedua bagi tahun kedua. Bukan senang sebenarnya belajar di negara arab. Apatah lagi belajar dalam bahasa yang bukan sebati dengan darah daging kita. Pastinya, naik dan turun semangat itu adalah satu fitrah menjadi seorang pelajar kat sini.

Kadang kadang jujurnya, hadir rasa menyesal tanpa aku sendiri duga. Menyesal bila dicampakkan ke sini. Seakan rasa tak mampu nak beri apa apa bila aku dah khirij (graduate) nanti. Mana tak nya, jujurnya lebih aku belajar sendiri dari fahami apa yang aku dapat dalam kelas sendiri. Mungkin. Silap aku sendiri.
"Biasa lah tuh. Kita kena percayalah dengan setiap langkah yang kita ambil ke kelas pasti ada pahala. Dan kalau kita ke kelas tapi tak faham apa pon yang doktor kata, percayalah dengan kita hadir ke kelas pon pasti ada berkatnya."

Mungkin. Benar kalam kalam yang terkeluar kat atas ni. Mana pernah kita tahu sebenarnya cara macam mana Allah nak bagi kita kefahaman. Hikmahnya, mungkin Allah nak suruh menghayati apakah sebenarnya erti mujahadah (bersungguh) dan usaha.

___________________________

Psst. Nak bawak kalian keluar daripada topik atas ni. Terbang ke sebuah perspektif lain tentang imtihan.

Sekarang musim imtihan. Musim yang bagi aku secara automatiknya semua orang akan jadi beriman.

Tak percaya?

Bila lagi kau nak jumpa tika yang ke hulu ke hilir orang setia bersama buku. Apatah lagi, sanggup menelaah buku on de way nak ke kelas lagi. Dari keluar rumah sampai ke kelas.

Bila lagi kau nak tengok pagi pagi dihidupkan dengan cahaya lampu yang menerangi seisi biliknya. Di bawah cahaya lampu, ada insan insan yang sanggup berjaga tak tidur langsung kerana ada exam pada esoknya. 

Bila lagi kau nak lihat detik yang biasanya malam malam sebagai seorang pelajar akan dihiasi dengan hiburan tapi bila hadirnya musim imtihan, seakan semua berdisiplin duduk di meja belajar, menelaah dengan penuh tekun sampai tak bisa diganggu oleh sesiapa dan apa pon.

Hebat tak hebat sebenarnya penangan peperiksaan.

Macam mana daripada seorang yang tak pernah sentuh buku diubahnya menjadi kepada seorang yang rajin membaca.

Daripada seorang yang tak faham apa apa bisa berubah menjadi seorang yang master dalam sesetengah subjeknya.

Daripada seorang yang tak pernah menghidupkan malam berubah menjadi seorang yang setia dari malam ke paginya.

Daripada seorang yang bermain main kepada seorang yang bisa serius dengan apa yang dibuatnya.

Kau tahu kerana apa?

Kerana semua orang ingin berjaya. Takut kena ulang semula tahun mahupun kertas periksa.

_____________________________

Betapa sebenarnya.

Andai lah semua orang tahu apa itu sebenarnya nikmat syurga.

Pasti aku yakin dengan sepenuh jiwa.

Kita kita ini mampu berubah seperti mana peperiksaan berjaya mengubah kita.

Andai kata semua orang tahu di syurga itu ada bidadari yang cantik mata memandang,
Pastinya semua orang akan terus menerus mengejar pahala tak kira masa dan di mana.

Andai kata semua orang tahu di syurga nanti kita bisa dapat apa yang kita mahukan,
Dengan yakinnya kita akan bisa buat baik tanpa harapkan manusia punya balasan.

Andai kata semua orang tahu di syurga itu kita bisa duduk beriman bersama Nabi Muhammad.
Sudah tentu semua orang akan memenuhi masjid masjid dengan ibadah kerna ingin mati dalam husnul khatimah.

_______________________________

Kenapa kena berpenat dalam mengejar cita cita eh?

Pernah terfikir?

Bagaimana sebenarnya dunia dan sistemnya berjaya mengubah hidup sebenar kita.

Betapa sesungguhnya permainan jahiliyyah itu bisa masuk ke dalam jiwa dan hati kita.

Tanpa pernah kita sedar mahupun cakna.

Dan akhirnya, diri kita terus dibayangi dengan nikmat dunia.

Sampai kan satu ketika.....

"Eh kenapa kau baca quran ni? Ada imtihan eh kejap lagi?"

Pergh. Tumbukan padu tepat terlekat ke muka.

Apa respon kau nak beri bila soalan itu datang tepat ke muka sendiri.

Bagaimana sebenarnya?

Kita ingin mengubah manusia yang masih dibayangi dengan dunia.

Sedangkan, kita masih bermalasan mengumpul dosa.

Sedarlah. Ummah ini kian tenat.

Kiamat itu makin dekat.

Dan mati itu tiba tak kenal tempat. 

_____________________________

Tahu apa sebenarnya kita dicipta?

Selain mahu sekadar lulus periksa?


“Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.” 
(Adz –Dzariyat: 56 )

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". 
(Albaqarah : 30)

Wednesday 12 March 2014

Aku adalah Aku :)

Wahai Tuhan, aku minta kau sentiasa bersama aku.
Menulis untuk aku kebaikan walau di mana aku berada.
Teringat pulak aku, awal awal dulu aku berkecimpung dalam medan penulisan melalui blog.

Waktu tu aku dalam tingkatan 3, semangat nak buat blog boleh kata sebab terpengaruh dengan penulisan penulisan senior masa aku sekolah dulu.

Dan makin lama makin rancak update blog bila mana hampir satu generasi 17 ada blog.

Komen sini sana. Update tanpa kira masa.

Seakan dunia blog waktu tu kami punya.

Serius. Mesti anda tak akan jangka kan macam mana suasananya?

Tapi. Memang waktu tu, meletop blog sini sana.

Pergh rindu tak terkata!

Mohon ahli generasi 17 yang dah ada kat merata dunia untuk kembali aktifkan blog masing masing!

_________________________

Dan bila dah start menulis secara lebih serius *lah kononnya*

Datang lah ura ura,

Katanya gaya aku menulis macam Hilal Asyraf.

Tapi mungkin betollah kot.

Sebab aku memang minat baca karya dan novel dia.
Terutama VT dan Sinergi.

Tak tipu. Menangis kot baca kerna menghayati punya pasal. 

Dan tak menafikan, sinergi antara sebab kat mana aku belajar sekarang.

__________________________

Masuk tingkatan 5, dunia blog seakan makin hilang pengaruhnya.

Twitter. Instagram. Facebook mula ambil tempat lakar cerita.

Dan termasuklah blog aku, tergendala penuh penulisannya.

Dan akhirnya, ambil keputusan delete blog lama serta merta.

Hasil keputusan tak waras, sampai sekarang aku menyesal delete blog lama.

Kalau tak, boleh aku cerita kat anak cucu cicit aku waktu menulis dalam keadaan separa matang (?)

_________________________

Dipendekkan cerita,

Atas rindu nak menulis dalam blog.

Aku tubuhkanlah blog ini setelah lama jugak ambil keputusan.

Tanya sini sana mintak pandangan.

Dan akhirnya, tertubuhlah jugak Supersaiya punya cerita hoho.

Lepas tu ada pulak kata menyerupai APG.

Senyum tanda aman.

___________________________

Kenapa aku menulis?

Kerna aku tahu dan yakin. Medan buat baik ini sangat banyak.

Senang cerita. Medan kumpul pahala.

Ada orang medan dia dalam media.

Ada orang medan dia dalam bicara.

Ada orang medan dia dalam bergaul sini sana.

Dan menulis, bagi aku seakan sebuah jiwa.

Aku cuba. Menulis dengan kadar masyarakat bisa menerima.

Dalam keadaan santai dan bisa meresap ke dalam hati siapa yang membacanya.

Tanpa menafikan.

Mungkin akan terpengaruh sikit dengan gaya penulisan mereka yang pastinya dah lebih berpengalaman lama.

____________________________

Tapi ketahuilah.

Aku adalah aku.

Segala apa yang ada dalam blog ini,

Aku cuba buat dengan cara dan gaya tersendiri.

Kalau ada yang rasa aku dipengaruhi siapa siapa,

Makanya aku mohon maaf atas segalanya.

Aku cuba.

Menulis dalam keadaan semua bisa menerima apa yang sebenarnya aku ingin kata.

___________________________

Dan blog ini.

Aku ingin jadikan sebuah medan.

Bila mana andai satu hari nanti aku kembali kepada Tuhan.

Akan ada insan insan yang membaca aku punya penulisan.

Dan andai dia beramal dengan apa yang aku bawakan.

Pahala aku akan terus menerus berjalan.

Ini sebenarnya tujuan besar aku kembali terjun ke medan penulisan.

___________________________

 Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (surga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni surga, mereka kekal di dalamnya.
(Surah Yunus : ayat 26)

Mohon maaf atas salah silap.

Dari seorang insan yang sangat kerdil di sisiNya.

Dan masih belajar untuk lebih serius dalam sampaikan kebaikan buat semua.

Teguran mahupun komentar membina sangat diperlukan saja.

Semoga. Jasa baik kalian, Allah terima sebagai pahala.

Jazakumullah buat semua! :)

-Muhammad Mu'az. Irbid, Jordan-

Psst. Doakan aku. Exam berderet minggu depan.
Bak kata ummi,
Jangan takut exam. Tapi takut Allah! :)

Monday 10 March 2014

"Kalau kita naik kapal terbang tak sampai Malaysia nanti macam mana eh?"

Tempat. Kita bergantung harap sepenuhnya.
Berita kematian sini sana tak kira masa.

Kebatilan 'dijulang' di tanah air tercinta.

Korupsi semakin terbongkar kisahnya.

Kapal terbang hilang tanpa berita.

Kemarau yang berpanjangan tempohnya.

Muslim di Afrika dibunuh tanpa bicara.

........
.....
..

Dan mereka menanyakan kepadamu: "Benarkah (azab yang dijanjikan) itu? Katakanlah: "Ya, demi Tuhanku, sesungguhnya azab itu adalah benar dan kamu sekali-kali tidak bisa luput (daripadanya)."
Surah Yunus : ayat 53

Sejak dua menjak ni, betul betul sangat aku rasa kematian itu sangat sangat dan sangat dekat. Bukannya sebelum ni tak rasa. Tapi sekarang rasanya makin mendekat.

Selalu terfikir. Andai kata, saat sedang aku tulis entri ini, malaikat maut datang beri salam dan dicabutnya nyawa aku. Di manakah bakal menjadi pengakhiran sebenar aku?

Andai. 
Kau tanya apa amalan yang bisa aku persembahkan nanti,
Pastinya jawapannya adalah aku pon tak pasti.
Apakah aku punya amalan sendiri.
Yang bisa melayakkan aku menjadi penghuni syurga kekal abadi.

Terkesan. Dengan apa yang sedang menimpa Malaysia sekarang.

Bermula dengan kemarau yang berpanjangan.
Kisah pemimpin menjadi mangsa kebatilan.
Sampailah hilangnya kapal terbang menambah kejutan.

Terfikir.
Adakah sebab dosa aku yang menggunung tingginya.
Menjadikan tak henti henti bala Allah beri buat Malaysia.

Terasa.
Dunia makin lama makin tenat.
Dengan bebanan dosa yang semakin lama menambah berat.
Seakan tunggu masa datangnya kiamat.
__________________________________________

" Pernah tak kau fikir. Dalam perjalanan kita nak balik Malaysia nanti, Allah uji perjalanan kita. "

" Entah lah. Kalau nak jadi, kun fayakun kan. "

" Apa yang agaknya kita akan rasa eh waktu tu? "

" Kematian dah depan mata? "

" Kau dah bersedia ke? "

" Bersedia apa? "

" Untuk hadapi kematian. "

_________________________________________

Bukannya selama ni kita tak diusik tentang berita kematian kan.

Betapa dah ramai menampar pipi gebu kita dengan tamparan hebat pasal kematian.

Tapi kita adalah kita.

Dapat berita, insaf sebentar.

Kemudian kembali kepada dunia penuh tipu daya.

_______________________________________

" Mu'az, pernah tak kau rasa peliknya kita? "

" Kenapa? "

" Bila dapat berita kematian, kita nangis lah kononnya. Bila baca cerita sahabat syahid, kita dapat lah semangatnya. Bila tengok orang lain sibuk menyeru sini sana, kita rasa kerdil lah kononnya. Tapi.. "

" Tapi apa? "

" Itu hanya sekadar rasa. Kesedaran tanpa sebuah amal untuk kita. Sekadar tersedar kejap. Kemudian tetap tak berubah untuk jadi macam mereka. "

" Mungkin sebab kita manusia. Cepat sangat kita lupa. "

" Tapi sampai bila nak jadi seorang pelupa? Kalau tiba tiba datangnya maut menjemput kita. Takkan nak kata kita lupa adanya maut yang tak pernah tunggu kita? "

Serius semalam.
Tak tidur lena aku dibuatnya.
Seakan tak rasa langsung lenanya.
Terbayang bayang.
Macam mana sekiranya.
Kematian itu tiba tika kita sedang buat dosa?

Thursday 6 March 2014

Kerna Allah itu tak pernah mengecewakan sesiapa.

Kerna Dia itu tempat kita kembali segalanya.

InsyaAllah. Post ini aku dedikasikan khusus buat antara sahabat yang paling aku sayang keranaNya.

Yang sedang diuji hidupnya.

Yang sedang melawan rasa sakitnya. 

Dan ayat ini baru saja aku jadikan modal tadabbur dalam liqa (perjumpaan) dengan adeks terchenta. Balik saja liqa, bukak instagram.

Dapat tag dari dia.

" Mu'az, this is really hard! Am I strong enough?"

Terkedu. Diam tak terkata.
________________________________________________

Kadang kadang,
Kita tertanya.
Kenapa Allah berikan kita benda yang kita tak suka.
Apatah lagi perkara yang kita tak jangka.

Kadang kadang,
Kita kecewa.
Dengan hidup yang sedang kita hidup udaranya.
Kenapa perlu aku hadapi macam ini rupa?

Kadang kadang,
Kita rasa sakit.
Menahan diri memujuk hati.
Agar sabar dengan takdir Ilahi.

Namun,
Siapa kita.
Untuk melawan aturan seorang Tuhan buat hambaNya.

Bukankah.
Telah Allah bicara,
Di dalam surat cinta milikNya.

"... Dan dialah yang menciptakan tiap tiap sesuatu iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan yang sempurna." 
(Furqan : ayat 2)

Mungkin tak sama.
Kalam aku dengan sakit yang kau rasa.
Tak akan pernah sama.
Orang yang merasa dengan orang yang memberi nasihat sentiasa.

Tapi,
Dalam beribu mahupun berjuta hambaNya,
Dia pilih kau diuji sebegini rupa.

Apakah.
Kau tak lihat sayangnya Dia?
Menjadi seorang yang istimewa.
Di sisi Dia.

Kadang kadang,
Jujurnya aku cemburu.

Bila mana,
Ujian yang kau terima bagi aku berat sentiasa.
Secara percuma,
Dia beri kau pahala berlipat ganda.

Mungkin.
Kalam ini tak bisa menenangkan hati yang sedang berduka.
Mahupun jiwa yang remuk sentiasa.

Tapi kenapa post kat sini.
Supaya kau bisa ingat.
Bila mana kau dah sihat nanti *allahumma amin*
Ada mereka mereka yang mendoakan kau sentiasa.

Yang pastinya.
Kau tak pernah sendiri.

Kerna syurga itu mahal harganya.
Maka wajarlah kau diuji sebegini rupa kan?

Sekurangnya kau dah ada wasilah.
Untuk dekatkan diri lagi dengan Allah.

Jujur, tetap aku cemburu dengan apa Dia beri buat kau
Wallahi!

Dan yang pasti.
Jangan pernah mengalah.
Sebelum kau ketemu jannah.

Semoga.
Teruuuuuus kuat di sana!
InsyaAllah. Doa kami mengiringi sentiasa!
______________________________________________

Kalian,
Doakan jugak eh buat sahabat aku sorang ni.
Agar bila dia sihat nanti.
Dia mampu menjadi pencetus ummah lagi!

Tuesday 4 March 2014

Sebuah Dedikasi : Suasana yang akan kalian rindui.

Pasti. Kau akan merindui biah yang ada padanya.
Gambar ihsan fb Cikgu Hasnah.

Kalian tahu?
Apa perkara yang paling akan kalian rindu?
Bila mana kalian sudah bergelar seorang 'graduan' sekolah?

Selain kawan kawan yang bisa dijadikan satu geng sampai gegar satu sekolah.
Selain masakan mak cik kantin yang sentiasa kita tak puas hati nak komen sini sana.
Selain kawasan sekolah kita yang kecil yang kalau siapa ponteng dah tahu kat mana nak cari.
Selain gelanggang yang ada di tengah sekolah yang sentiasa jadi rebutan bila mana hari sukan menjelma tiba.

Ada seperkara yang akan kalian rindu.
Tahu apa?
Biah Solehah! (Persekitaran yang baik)

Kalau dulu,
Kita punya program tamrin, daurah, mabit, iktikaf yang bisa buatkan hati kita segar ingat Tuhan.
Lepas ni,
Kita punya pilihan nak cari program seperti ini atau terus jauhkan diri kita bersama dunia punya permainan.


Kalau dulu,
Kita wajib pakai tudung labuh tutup dada bila masuk saja kawasan sekolah.
Lepas ni,
Ikut diri kita lah nak pakai apa tudung sekali pon kerna dah tak ada orang akan denda kalau tak pakai.


Kalau dulu,
Kita ada Usrah yang wajib kita ikut seminggu sekali.
Lepas ni,
Ikutlah kalian nak join atau tak. Tak akan dikenakan denda buang universiti langsung!


Kalau dulu,
Semua wajib solat zohor berjemaah. Kalau masbuk kena denda.
Lepas ni,
Ikutlah kalian mahu solat atau tak. Kerna dah tak ada pengawas nak catit nama.


Kalau dulu,
Kita ditegah couple sini sana.
Lepas ni,
Ikutlah kalian nak couple atau tak, dah tak akan ada tangkap kalian dan tegur di perhimpunan Isnin.


Kalau dulu,
Wajib ikut kelas tilawah hafazan seminggu sekali.
Lepas ni,
Dah tak ada ustaz atau cikgu nak denda kalian kalau kalian tak baca quran walaupun sehari.


Kalau dulu,
Kalian boleh kenal satu generasi sampai bisa lafazkan ukhuwwah sampai syurga.
Lepas ni,
Kalau tak kenal satu generasi pon, tak akan ada orang ambil kisah bila sibuk dengan dunia sendiri.


Kalau dulu,
Ada pengawas akan kejar tiap kali kalian lari solat jumaat.
Lepas ni,
Tak akan ada siapa ambil kisah kalau kalian tinggal solatnya berapa lama sekali pon.


Kalau dulu,
Kita punya cikgu ustaz yang bisa turun setiap petang ajar sampai bisa kita faham.
Lepas ni,
Dah tak ada mereka yang bisa sentiasa ingatkan kita agar selalu fokus dalam kelas.


Kalau dulu,
Kita kena bangun awal subuh sebab tak nak tertinggal bas ke sekolah.
Lepas ni,
Kalau kalian ponteng kelas pon, dah tak ada orang nak tanya apa khabar kalian.


Kalau dulu,
Kita bisa buat banyak program program yang rapatkan antara kita dengan yang lain.
Lepas ni,
Ikutlah kalian nak kenal orang lain atau tak. Tak akan rasa apa maknanya ukhuwwah.


Cukup cukup sudah.

Maaf. Ini bukan ceita dongeng salji putih atau orang kecil.
Apatah lagi sinetron indonesia yang berbulan masanya nak sampai ke episod akhir.
Ini kalam hakiki.
Aku sendiri pernah alami bila mana melangkah masuk ke alam universiti.

Awalnya,
Rasa janggal bila hidup dengan mereka tak macam 'kita'

Tapi sampai bila.
Untuk kita berada di zon selesa.
Tak akan kita tahu bagaimana kehidupan mereka kat luar sana.

Pastinya.
Hidup kita di sekolah dulu.
Dan di zaman universiti lepas ni tak akan sama.

Kalau dulu,
Kita ada peraturan sekolah yang ketat sampai kita rasa semua kita tak boleh buat.
Lepas ni,
Kita hanya akan jumpa peraturan universiti yang akan berbicara soal kehadiran dan sebagainya tanpa pernah ambil aspek tentang aurat dan perkara islamik sebagainya.

Tak nak pakai tudung?
Nak pakai seluar pendek?
Malas nak solat?
Tinggal solat subuh?
Berpasangan sini sana?
Tak baca quran sebulan?

Buatlah apa kalian mahukan. 
Tak akan siapa ambil kisah dah lepas ni.
Tak akan siapa yang akan tegur dan rotan kalian bila kalian alpa.
Apatah lagi bawak masuk ke bilik pengetua.

Dan sampai satu tahap.
Baru kalian akan tahu dan sedar.
Kenapa sebenarnya penting suasana islamik yang sekolah kita terapkan dulu.

Maaf. Bukan niat nak menakutkan kalian ke apa.
Tapi, ini adalah realiti masa kini.

Namun,
Kita bisa saja hidup dalam persekitaran yang baik.
Kalau kita sendiri yang pandai pilih 'hidup'nya. 

Jadi, buat kalian generasi ke 19,
Selamat menempuh 'alam' baru.
Dunia yang akan membawa kalian kepada kehidupan DUNIA yang sebenar. 

Dan, aku.
Sentiasa mendoakan agar kalian membuat pilihan yang baik.
Yang jauh daripada maksiat.
Mahupun perkara yang bisa jauhkan kalian dari Tuhan.

"Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu." (Muhammad : 36)

Akhir kalam,
Jaga diri kalian baik baik.
Aku yakin kalian dah tahu mana satu halal dan haram.
Mana satu dosa dan pahala.
Dan mana satu perkara yang bisa masukkan kalian ke syurga atau sebaliknya.

Semoga. Allah mudahkan urusan kalian sentiasa.
Oh dan jugak,
Selamat untuk keputusan SPM nya ya! :)

Yang banyak A tak bermakna dia berjaya.
Yang kurang A tak bermakna dia gagal sentiasa.

Hakikatnya,
Perjalanan di universiti jauh lebih mencabar buat semua.

Wallahualam.
_________________________________________

Psst. Post ini adalah sebuah post dedikasi khas buat adik adik generasi 19 sekolah aku yang akan berdaurah (perjumpaan secara beramai ramai) hujung minggu ni.

dan, aku telah dimintak oleh sahabat yang aku sayang keranaNYA untuk dedikasikan sebuah post buat mereka.

Semoga. Allah redha.
Semoga. Allah jaga mereka sentiasa
.

Dan. Pastinya. Aku sentiasa merindui mereka mereka yang berkopiah utamanya.
Bagaiman agaknya iman mereka?
Semoga. Dalam jagaan Allah sentiasa, kalian.
Semoga sempat untuk berjumpa.
Tak di sini,
Di SYURGA!