Monday 21 July 2014

Ukhuwwah itu mahal, kau tahu?



Hari tu tiba tiba ada orang datangkan perbualan,

"Bestnya lah diaorang tu. Rapat sini sana. Untunglah ada orang sayaang."

"Kau yakin ke diaorang saling menyayangi?"

Mukanya berkerut.

"Apahal kau cakap cenggitu?"

"Entah. Kerna kita tak tahu hati manusia kan."

"Maksud kau?"

"Kadang kadang, orang yang kita tak rapat, adalah orang yang kita paling rapat."

"Okay. Keling!"

"Rapat tu kadang kadang tak perlu ditunjuk. Sayang kepada seseorang tu kadang kadang tak perlu sampai semua orang kena tahu. Cukuplah kot sekadar orang yang kita sayang tu tahu kita sayang dia."

"...."

"Sayang ni benda subjektif kot. Kerna mungkin. Kadang kadang kita tak sedar pon. Orang yang jauh dari kita adalah orang yang lagi kita sayang."

"Okay. Falsafah sangat."

"Falsafah kehidupan. Lol."

_____________________________________________

Ukhuwwah Ukhuwwah dan Ukhuwwah.

Sekolah rendah sampai sekolah menengah. Sekolah menengah hingga ke universiti. Universiti di Malaysia hatta ke luar negara. Pastinya perkataan ini. Akan tertancap penuh pada kepala otak kanan dan kiri. Sedari kecil hingga ke besar. Apa istimewanya kata sakti ini?

Dulu kala,

Mata melewati laman sesawang twitter. Tanpa sangka. Muncul sebuah retweet dari kawan lama. Memetik kata siapa entah orangnya,

"Bila aku tengok gambar lama. Baru aku tahu apa itu erti kawan sementara."

Dan aku. Diam tak terkata. Cuba cuba dan cuba memahami apa isinya. Seakan aku rasa. Ada suatu yang tak kena pada katanya. Mungkin ini adalah mesejnya,

"Bila aku tengok gambar lama. Baru aku kenal apa itu perpisahan sementara. Semoga ketemu di syurga akhirnya."

Atau. Aku yang salah sangka?

Sering aku dengar banyak cerita. Orang sini sana sibuk bicara. Kata mereka. Sahabat itu sikapnya datang dan pergi. Datang tanpa sangka. Pergi tanpa berita. Adakah memang sebegitu rumusnya?

Mungkin aku fahami orang yang sebegini. Aku juga punya cerita serupa. Kawan yang dulunya kita main lompat sama sama. Cedera sini sana. Kena denda sekali semua. Dan akhirnya, berubah sekelip mata. Maka di situ apa maknanya? Sahabat itu hilang sekelip mata!

Maka lantas aku bertanya. Di mana dan apa serta siapa silapnya?

Hinggakan akhirnya. Aku ambil langkah selamat. Setiap kali pertemuan baru bermula. Tiap kali senyuman manis terukir mesra. Bermula perkenalan nama. Aku ambil langkah berjaga. Agar tak terlebih rapatnya. Supaya akhirnya aku kecewa. Lebih dahsyat lagi. Aku berhati hati dalam bercerita.

Apakah adilnya sebegitu? Memukul semua orang sama rata satu kayu?

Kena fahami. Apa itu ukhuwwah sejati. Lantas. Ukhuwwah yang biasa terlakar di bibir kita,

"Kerna Allah. Aku sayang kau selamanya!"

Andai orang yang mengucap ini fahami. Dan yang menerima ucapan ini turut mengerti. Pasti di situ terselit sesuatu yang wangi. Dua hati yang bersama berjanji. Apa jua menimpa selepas ini, pasti syurga tempat akan bertemu kembali!

Saat itu,

Seakan dah berjanji. Walaupun lepas ni gaduh banyak kali. Ada yang tersakit hati. Ada yang terkena marah tanpa disedari. Ada yang menjauhkan diri. Itu adalah fitrah saat kau dan aku mula berkenalan melakar momen momen sebagai sahabat sejati. Bahkan sampai bisa diketemu di syurga kembali!

Kerna kau kena fahami.

Ukhuwwah dan kasih sayang itu bukan benda yang kita bisa paksa orang untuk menerimanya. Ia adalah satu tindak tanduk yang hasil dari hati bahkan diri kita yang akhirnya terlekat penangannya entah pada siapa siapa yang buatkan dia mahu lebih dekat dan bertambah sayang dengan kita.

Saat perkenalan ukhuwwah antara kau dan aku bermula.

Kena bersedia untuk hadapi tiap satu mehnah yang akan hadir tanpa kita duga. Kerna hidup ini menjanjikan sebuah formula. Di mana ada manis di situ ada pahitnya. Maka kau kena pasang pada minda bawah sedar supaya apa apa yang menimpa, tak mudah untuk terus menjauhkan diri dari dia. Bahkan. Sahabat kau tu pon turut kena rasa benda yang serupa.

Dan ukhuwwah itu. Bukan untuk orang tertentu. Ia milik semua orang. Ya. Milik semua! Hatta pak cik di tepi jalanan yang duduk mencari rezeki. Dia berhak mendapat ukhuwwah itu. Kerna mungkin. Dasar ukhuwwah itu adalah kasih sayang. Yang akhirnya. Bisa bawa seramai mungkin langkah masuk ke syurga yang nikmatnya tak terbayang.

Olahan aku terlalu simplistik?

Makanya, aku setuju sepenuhnya! Sebab apa? Apa yang tertulis di sini semuanya hanyalah teori semata. Ukhuwwah ini bukan sekadar teori. Ia adalah sebuah aplikasi. Yang lahir dari hati yang suci. Supaya. Sayang kita kepada seseorang itu bukan ikut musimnya.

Suka berkawan tika punya senang. Saling menjatuhkan saat kita berjauhan.

Cukuplah sebenarnya. Hidup kita ini saling menyakitkan hati orang yang terdekat. Kadang kita sibuk mencari punca kepada suatu kelemahan yang berlaku. Saat sibuk mencari punca sini sana. Pada orang itu ini entah siapa. Sampai lupa. Mencari kelemahan pada diri sendiri yang bisa menjadi angkara.

Kenapa aku buat entri ni?

Kerna aku tahu. Ada yang termakan hati dalam bersahabat. Ada yang tak semena suka permainkan sahabat. Bahkan. Ada yang berjanji tapi akhirnya dimungkiri.

Macam biasa. Aku tinggalkan buat semua. Sebuah kata. Dari Dia..
"Teman-teman akrab para hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa."  
(Az-Zukhruf : 67)

Wallah. Aku rindu tiap satu dari mereka!
Ukhuwah dan Taqwa. Di mana kaitannya?
Jangan lupa bahwa Ramadhan kian pergi...

Thursday 10 July 2014

Aku. Statusnya apa?

Di tengah umat yang kian tenat.
Apa status kau wahai pejuang umat?

Hari berganti hari. Waktu terus berlalu. Malam berganti pagi. Pagi berganti petang. Petang berganti malam. Sahur diganti iftar. Iftar disambung solat terawih. Kemudian bersambung sahur sekali.

Wahai sebenarnya saat ini.

Kemarahan kat diri sendiri memuncak sangat tinggi. Perasaan benci kat diri sendiri seakan tak nak pergi. Aku. Tak ubah seperti robot yang tak punya hati. Berulang alik ke sana ke sini. Berganti hari demi hari. Tapi. Masih tetap dengan aku yang seperti ini.

Diri aku.

Yang masih degil untuk berubah saat mereka di sana terpancut darah.
Yang masih malas untuk bertindak saat mereka di sana hancur ditembak.
Yang masih tidur saat mereka di sana tak sempat bersahur.
Yang punya masa lapang saat mereka di sana tak pernah rasa kenyang.


Sungguhnya pada aku, aku melihat banyak lopongnya. Banyak yang tak terkira!

Di saat mereka sedang sibuk menyiapkan diri menjadi ahli syurga.
Aku pula sedang sibuk melayan dunia.

Di saat mereka sedang sibuk mengubati si anak kecil yang kepala mereka dibedil.
Aku pula sedang tidur lena menikmati empuknya sang katil.

Di saat mereka mencari ruang memohon kekuatan lagi sikit supaya bertahan.
Aku pula berdoanya cukup cukup makan.

Di saat air mata mereka gugur menahan sakitnya rasa.
Aku pula sibuk mencari masa untuk dapatkan tidur yang lena.


Entah ini kali ke berapa sebenarnya. Aku menulis pasal perasaan mereka. Hakikatnya, tak sama tangan yang menulis cerita. Dan tangan yang sedang mengalir darah padanya. 

Perasaannya tak sama. Egonya masih ada. Asyik asyik tersentak dengan cerita mereka. Menangis sentiasa saat menghayati perasaan mereka.

Namun.

Kejap saja masanya, aku kembali larut kepada dunia. Cukup sudah sebenarnya aku kira. Hentakan yang dirasa selama. Sampai kadang kadang aku lali dah rasa. Bila datang sebegini punya cerita, rasa sedih tak puas hati lah pada awalnya.


Tapi akhirnya entah ke mana aku larut sebenarnya?

Tersentak dua saat. Kemudian tidur lama kononnya penat. Oh sebenarnya baru aku tahu. Bukan sekadar ummat yang tenat. Tapi aku. Menjadi punca kepada tenatnya sebuah umat.

Aku kira sebenarnya. Masih tak terlambat untuk buat perubahan walaupun sedikit. Sepertimana kita terkesan dengan apa yang sedang berlaku dengan muslim di luar sana, maka wajarlah sekiranya kita ambil langkah perubahan yang sebaiknya.

Aku jua ingin cuba belajar seperti mereka macam mana rasanya bila pisahkan diri sebetolnya dengan dunia. Merasai nikmat penat berjuang. Merasai masa yang penuh dengan kerja. Menghadapi malam yang tidak cukup tidurnya. Qiyam yang sentiasa terjaga. Ibadah yang pada hati punya kesannya.

" Ramadhan ini adalah sebuah institusi. Allah bagi kita 30 hari tanpa syaitan untuk kita latih diri kita. Kalau tak dilatih sekarang, lepas Ramadhan kita akan tumbang lagi kepada syaitan. "
-Ustaz Nouman Ali Khan-

Maka, untuk 11 bulan akan datang? Kau nak tumbang lagi kepada syaitan?


Cukup. Cukup. Cukup.

Aku kira sampai sini. Untuk aku bawak diri aku terutamanya dan kalian yang sedang membaca muhasabah diri. Kerna akhir hidup kita adalah kematian. Bayangkanlah. Saat kita dihimpunkan nanti di padang mahsyar.
Bersama para syuhada di Gaza, dan saat mereka tanya.

"Apa kau dah buat untuk bantu kami?"

Takkan nak jawab.

"Aku dah tidur sepanjang hari. Tengok bola dari malam ke pagi. Berhibur sana sini..."

Allah. Malunya rasa nanti....


Kerna jihad mereka melawan israel sang durjana.
Jihad kita melawan nafsu semata.
Maka lantas ditanya pada jiwa.
Buat mereka status aku apanya?
Cukupkah sekadar menjadi keyboard warrior?


Ada masa. Kita jumpa lagi. Doakan aku bisa jua tumbang sebagai syahid nanti. 
Teringin. Berborak bersama mereka di sana nanti. Semoga!
Salam muhasabah.
Akhukum.

Saturday 5 July 2014

Catatan 7 Ramadhan.


"Bila siang makin panjang, jadi makin malas. Kenapa eh?"


"Entah. Puasa ni, syaitan dah tak ada. Tapi kenapa hati kita malas lagi?"

"Sebab. Syaitan dah berjaya kot sebatikan malas tu. Bila syaitan tak ada pon tak apa. Seakan tak ada bezanya malas kita. Ke macam mana?"


Yup. Ramadhan kareem semua.

Hari ke 7 Ramadhan. Jujur aku rasa. Perasaan yang sama. Hari hari yang boleh dimanfaatkan sehabisnya berlalu dengan sangat cepat. Seakan aku tak percaya. Macam ni cepatnya masa berlalu. Tiga minggu saja lagi. Ramadhan akan pergi.

Lepas tu apa lagi?

Kena tunggu lagi 11 bulan yang akan datang lah ceritanya.

"Itu pon kalau kau masih hidup."

********
Siang panjang

Pertama kali aku berpuasa di perantauan. Alhamdulillah perasaannya tetap sama. Cumanya, bila berpuasa di negara islam ni mungkin rohnya makin terasa lah kot. Masjid masjid yang tak pernah kurang dengan warganya. Solat subuh yang ramainya seakan solat jumaat gamaknya dan banyak lagi lah.

Cumanya seperkara yang buatkan aku rasa terpukul bila mana siangnya panjang dan cuaca panasnya sangat mencucuk cucuk. Buat aku muhasabah balik sebenarnya apakah hikmah peredaran musim di negara ini.

Bersyukur.

Satu kata yang aku rasa wajar ada kat semua lah kot. Mana tak nya, waktu musim sejuk dulu sibuk nak cari panas. Bila dah datang panas, sibuk pulak rindukan musim sejuk. Jadinya, bila Allah hadirkan kedua dua nya, seakan Allah nak bagitahu kat kita.

"Maka nikmat Tuhan yang mana satukah yang kau dustakan?"


Semester pendek

Wallah aku kata, bila siang panjang maka ceritanya tidur lepas subuh adalah antara salah satu nikmat. Ini yang bahaya! Y.Y Bila mana malamnya hanya dapat tidur sekadar sejam dua. Itu pon kalau dapat lelapkan mata. Kalau tak dapat, kita tengok orang tidur je lah ceritanya. Eh.

Dan semester pendek ni lah salah satu wasilah paling mudah untuk nak naikkan muaddal (purata markah). Jumlah subjeknya pendek dan silibusnya jadi makin sikit. Tapi yang mencabarnya. Para doktor akan ajar selaju mungkin supaya dapat kejar silibus.

Dan aku? Jujurnya perasaan malas tu seakan datang tak berhenti. Tu lah ceritanya. Bila syaitan dah tak ada, baru tahu sebenarnya sisi diri kau yang sebenarnya macam mana T.T




Ini. Mungkin catatan seorang insan biasa.

**********

Kalau kita nilai dari sudut perspektif berbeza dalam bulan Ramadhan.

Entah lah. Untuk Ramadhan kali ini, jujurnya aku seakan rasa tersentak dengan apa yang berlaku. Dengan masa yang berjalan dengan sangat pantasnya. Dengan ibadah yang masih banyak lompongnya. Dengan setiap inci Ramadhan masih aku tak manfaatkan sebaiknya.

Buat aku terfikir.

Betol ke sebenarnya Ramadhan ni bulan yang paling aku nanti selama ni?

Bila mana nak solat terawih. Pasti akan terfikir untuk nak solat di masjid yang bacaannya pendek dan cepat. Bila pergi masjid yang bacaannya panjang, buatkan bila tengah solat hati seakan meraung supaya imam baca pendek dan cepat.

Apatah lagi, alasan yang aku bagi kalau tak nak tarawih kat masjid yang baca panjang panjang hanya sebab aku rasa tak khusyuk, jadi bukti memang aku dengan Allah tu boleh tahu macam mana hubungannya.

Salah siapa sebenarnya kalau aku tak dapat khusyuk tu?

Cuba bayangkan. Selama ni kau dah habiskan masa dengan duniawi. 24 jam Allah beri. Hanya untuk kita berikan masa kita untuk abdikan diri sepenuhnya kepada Allah dengan 1 jam setengah tu pon kita masih berkira.

Dan, aku terbayang. Bagaimana keadaan Nabi solat sampai kakinya bengkak. Nabi yang dah memang dijanjikan syurga. Hanya kerna mahu eksperesikan rasa syukurnya kepada Allah, dirikan solat di malam hari sampai bengkak sana sini sanggup beribadah macam tu sekali.

Tapi aku. Nak bangun malam pon masih boleh dikira hari, nak berdiri solat lama lama apatah lagi jauh sekali. Dengan tilawahnya pon faham tak faham apa yang tercatat dalam quran, macam mana nak menghayati tiap apa yang aku baca sebenarnya.

Dan bila tak dapat khusyuk,

Para imam juga yang menjadi medan salahnya. Baca tak sedap lah. Suara tersekat lah. Baca lama lah. Allah...

Mungkin kerna itu, Allah janjikan Ramadhan ini akhirnya adalah taqwa untuk mereka yang benar benar dan benar manfaatkan tiap inci Ramadhan ni. Dan kalau dikira, lebih kurang ini adalah Ramadhan aku yang kedua puluh aku rasa.

Tapi

Bila tengok balik ke belakang. Ramadhan mana sebenarnya yang betol betol beri kesan kepada diri aku? Jujurnya aku pon tak tahu. Baru aku tahu. Syaitan itu benar benar dan benar berjaya menakluk diri aku.

Entahlah.

Sekadar aku nak bawak diri aku dan kalian refleksi kembali sebenarnya sejauh mana Ramadhan ini benar benar kita rasai kehadirannya. Takut takut sekadar suka Ramadhan tiba hanya kerna suasananya tanpa mengambil setiap peluang yang ada.

Madarasah Ramadhan.

Bila lagi sebenarnya kita nak cuba ubah diri kita? Bersihkan hati kita? Kentalkan jiwa kita? Kalau bukan pada bulan Ramadhan. Bulan yang di mana syaitan itu dah tak ada. Tinggal untuk kita berperang dengan nafsu.

Nampak macam kejap sebenarnya sebulan itu. Tapi untuk buatkan sebuah perubahan, boleh kata ia adalah satu tempoh yang sangat lama!

Percayalah.

Kalau selama ni kita masih berkira lagi masa kita dengan Allah. Kenapa tak dalam bulan Ramadhan ni, cuba kikis perasaan dunia tu. latih diri bangun seawal pagi yang boleh. Menangis sebanyak mungkin. Menghayati tiap apa yang kita baca dalam solat.

Supaya.

Ramadhan ini benar benar ada kesannya kat hati kita. Kerna yang penting nanti adalah macam mana diri kita tika Ramadhan pergi nanti. Kalau Ramadhan ini tak mampu ubah apa apa kat diri kita, bayangkanlah lepas Ramadhan nanti.

Cukuplah.

Selama ni kita dah banyak bergelumang dengan dosa dan maksiat. Apatah lagi habiskan banyak masa kita dengan perkara lagha, kenapa kita tak nak manfaatkan bulan ini?

Peluang Allah dah beri.

Jangan bila dah ditarik pergi.

Baru nak menyesal nanti.

__________________

Akhir sekali.

Maaf salah silap aku selama ni.  Post ini hanya sekadar sebuah refleksi. Tentang hidup kita yang akhirnya adalah mati. Jadi masih nak bermain main lagi?

Semoga. Istiqamah hati tak berbelah bagi. Selamat manfaatkan baki tiga minggu ini.